Mari Berpuasa Asyura & Tasua'

Kelebihan puasa asyura.
1) Daripada
Abdullah bin Abi Zaid bahawa beliau mendengar Ibnu Abbas ditanya
tentang berpuasa pada Hari Asyura. Beliau menjawab: "Aku tidak tahu
bahawa Rasulullah berpuasa sehari mengharapkan kelebihannya berbanding
hari-hari lain kecuali pada hari ini (Asyura), tidak juga pada
bulan-bulan lainnya kecuali pada bulan ini iaitu bulan Ramadhan," hadis
soheh Bukhari (2006) & Muslim (1132).
2) Daripada
Abu Qatadah bahawa Nabi berkata; "Berpuasa pada hari Asyura aku
berharap kepada Allah agar mengkafarahkan setahun yang telah lalu,”hadis
riwayat Muslim (1162) dan Abi Dawud (2425).
Dua
hadis ini menggambarkan kelebihan berpuasa pada 10 Muharram. Iaitu
pengampunan Allah bagi dosa tahun yang lalu. Yang masyhurnya dikalangan
ulama pengampunan dosa ini hanyalah pada dosa-dosa kecil bukan dosa-dosa
besar yang perlukan kepada taubat. Imam An-Nawawi berkata; " Diampunkan
bagi dosa-dosa kecil dan takdirnya ialah; diampunkan dosa-dosanya
keseluruhannya kecuali dosa-dosa besar". Al-Majmuk 6/382.
Syeikhul
islam Ibnu Taimiyyah berkata; "Pengampunan dosa bagi orang yang bersuci
(berwuduk), solat, puasa Ramadhan, puasa Arafah dan Asyura hanyalah
bagi dosa-dosa kecil sahaja". Al-fatawa al-kubra 4/428.
Apa
yang mereka nyatakan ini adalah bersandarkan kepaada hadis Nabi dalam
soheh Muslim daripada Abu Hurairah bahawa Nabi bersabda; "Solat lima
waktu, Jumaat kepada Jumaat, Ramadhan kepada Ramadhan, adalah
pengampunan dosa diantara keduanya jika dijauhi dosa-dosa besar".
Banyak berpuasa pada bulan-bulan haram;
Daripada
Abu Hurairah berkata, Nabi bersabda; "Sebaik-baik puasa selepas
Ramadhan ialah bulan Allah yang diharamkan," riwayat Muslim (1982).
Bulan
yang disandarkan kepada Allah menunjukkan pengagungan. Daripada zahir
hadis menunjukkan bahawa ianya adalah merangkumi semua bulan-bulan haram
(Rajab, Zulqaedah, Zulhijjah dan Muharram). Akan tetapi perlu diketahui
bahawa tidak pernah thabit daripada Baginda bahawa beliau berpuasa
penuh sebulan kecuali pada bulan Ramadhan. Maka hadis ini memberi maksud
galakkan agar membanyakkan puasa pada bulan-bulan tersebut.

Asal usul puasa pada 10 Muharram;
Daripada
Ibnu Abbas berkata; " Rasulullah datang ke Madinah maka Baginda melihat
orang-orang Yahudi berpuasa pada 10 Muharram lalu Baginda bersabda;
kenapa begini? Mereka menjawab; "Ini adalah hari yang baik, Allah telah
menyelamatkan pada hari ini Nabi Musa dan Bani Israel daripada
musuh-musuh mereka (Fira’un) maka Musa berpuasa. Lalu Nabi bersabda;
"Aku lebih berhak daripada kamu terhadap Nabi Musa, maka Nabi berpuasa
dan memerintahkan agar berpuasa". Dalam riwayat yang lain, "Maka kami
berpuasa pada hari tersebut sebagai menghormatinya". Hadis riwayat
Bukhari (2004) dan Muslim (1130).
Daripada
Salamah bin Al-Akwa' bahawa Rasulullah memerintahkan seorang lelaki
supaya mengumumkan kepada manusia yang muslim; "Sesiapa yang telah makan
maka hendaklah dia berpuasa selepas itu, sesiapa yang belum makan maka
berpuasalah, maka sesungguhnya hari ini adalah hari Asyura". Hadis
riwayat Bukhari (2007) dan Muslim (1135).
Pilihan berpuasa selepas kefardhuan puasa ramadhan;
Daripada
Aisyah beliau berkata; "Puasa Asyura adalah sebelum diwajibkan puasa
Ramadhan. Maka tatkala turun kewajipan puasa Ramadhan, maka sesiapa yang
mahu berpuasa (Asyura) berpuasa dan sesiapa yang tidak mahu maka dia
berbuka". Bukhari (2001) dan muslim (1125).
Daripada
Abdullah bin Umar berkata; "Puasa Asyura berpuasa padanya ahli
jahiliyyah, maka tatakala turun kewajipan Nabi bersabda; "Sesiapa yang
mahu berpuasa (Asyura) berpuasalah, dan sesiapa yang tidak mahu maka dia
tidak perlu berpuasa". Hadis Bukhari (1892) Muslim (1126).
Daripada
Jabir bin Samurah berkata; "Adalah Rasullullah memerintahkan kami
supaya berpuasa pada hari Asyura dan memberi galakkan kepada kami, dan
Nabi mengambil janji terhadap kami disisinya, maka tatkala difardhukan
Ramadhan, Baginda tidak menyuruh kami dan tidak melarang kami
daripadanya dan Nabi tidak mengambil janji kami di sisinya". Hadis
Muslim (1128).
Ibnu
Hajar dalam Fathul Bari berkata; "Dan dapat diambil daripada
keseluruhan hadis bahawa puasa asyura ini pada mulanya adalah wajib
kerana thabitnya perintah berpuasa, kemudian ianya menjadi lebih kuat
lagi dan kuat lagi ketika diumumkan kepada umum. Bertambah wajib lagi
ketika Nabi memerintahkan agar orang yang sudah makan meneruskan
puasanya, kemudian perintah Baginda supaya ibu-ibu yang tidak
menyusukan anak kecil pada hari tersebut dan kata-kata Ibnu Mas'ud dalam
soheh Muslim "Tatkala difardhukan Ramadhan maka ditinggalkan Asyura",
dengan pengetahuan bahawa tidak ditinggalkan hukum sunnah puasa Asyura
itu bahkan kekal ianya sebagai sunnah. Maka ianya memberi petunjuk
bahawa yang ditinggalkan ialah kewajipannya (iaitu menjadi tidak wajib).
Fathul Bari 4/247.
Disunatkan berpuasa 9 Muharram bersama dengan 10.
Daripada
Ibnu Abbas berkata; "Ketika Nabi berpuasa Hari Asyura dan memerintahkan
agar berpuasa, Sahabat berkata; "Ya Rasulullah sesungguhnya ia adalah
hari yang dibesarkan oleh Yahudi dan Nasrani. Nabi bersabda; "Maka jika
tahun akan datang insyaallah kita akan berpuasa Tasyua' (9 Muharram)".
Ibnu Abbas berkata : "Maka belum sempat datang tahun hadapannya kecuali
Rasulullah telah wafat". Hadis riwayat Muslim (1916).
Imam Syafie, Ahmad, Ishak dan lain-lainnya berkata;
"Disunatkan berpuasa Tasua' dan Asyura bersama kerana Nabi berpuasa
pada 10 Muharam dan telah berniat untuk berpuasa 9 Muharam".
Atas
dasar ini maka berpuasa Asyura ada tingkatannya; yang paling kurangnya
ialah berpuasa pada hari Asyura sahaja, lebih baik daripada itu ialah
berpuasa 9 dan 10 Muharram. Dan setiap kali bertambahnya puasa pada
bulan Muharram maka ianya adalah lebih baik dan afdhal.
Hikmah disunatkan puasa 9 Muharam;
Imam
An-Nawawi berkata:" Para ulama dikalangan Sahabat kami (Syafieyyah) dan
selain mereka menyatakan tentang hikmah berpuasa Tasua' (9 muharam)
dengan beberapa wajah;
1) Ianya adalah bertujuan menyalahi Yahudi (tidak sama dengan mereka) ketika hanya berpuasa Asyura sahaja.
2) Adalah
bertujuan menyambung puasa Asyura dengan puasa seperti larangan Nabi
berpuasa pada hari Jumaat semata-mata. Ini disebutkan oleh Al-Khattobi
dan ulama-ulama lain.
3) Sebagai
langkah berjaga-jaga ketika kita berpuasa Asyura, yang mungkin ditakuti
kurang sehari anak bulan. Maka akan berlaku kesilapan hari ketika
berpuasa. Maka boleh jadi puasa 9 Muharram itu adalah yang sebenarnya 10
Muharram".
Akan tetapi wajah yang paling kuat adalah yang pertama. Syeikhul Islam
Ibnu Taimiyyah menyatakan; "Nabi Muhammad Alaihi Solatu Wassalam telah
melarang daripada menyerupai Ahli Kitab dalam hadis-hadis Baginda yang
banyak seperti dalam sabda Baginda tentang Asyura; "Jika aku hidup pada
tahun hadapan maka aku pasti berpuasa Tasua' (9 Muharram). Al-majmuk
al-kubra.
Daripada
Ibnu Abbas beliau berkata; "Telah berkata Nabi Muhammad :"Berpuasalah
pada hari Asyura (10 Muharram), dan selisihilah Yahudi (jangan
menyerupainya), berpuasalah sebelumnya sehari ataupun selepasnya
sehari". Hadis riwayat Ahmad (1/241) Ibnu Huzaimah (2095) dan
Al-Baihaqi.
Apakah hukum berpuasa Asyura sahaja?
Syeikhul
Islam berkata; "Berpuasa pada hari Asyura adalah kaffarah (pengampunan)
setahun dan tidak dimakruhkan mengifradkannya dengan puasa (puasa
asyura sahaja). Al-Fatawa al-Kubra.
Dipetik Dari : Ustaz Hafiz Basir ( BA Madinah,MA King Saud University,Riyadh)
0 ulasan:
Catat Ulasan